21 July 2016

USRAH

“Bad berminat ke nak join usrah?”

Tanya Yunuss (ya, dengan double S) kepada saya di atas bas perjalanan kami untuk mencandat sotong ke Terengganu. Beberapa minit sebelumnya, saya mengaku kepada Izwar, keinginan untuk berusrah rentetan daripada melihat gambar-gambar Izwar di facebook bersama rakan-rakan usrahnya yang menarik perhatian saya. Terus hasrat saya disampaikan oleh Izwar kepada Yunuss tanpa sempat saya menangguh jeda.

Saya senyum kepada Yunuss.

“Macam berminat.” Jawab saya pendek.

“Kalau berminat, nanti Yunuss bagi nama pada Abang Fauwaz.” Kami bertukar senyuman.

Beberapa minit sebelumnya, Yunuss mengedarkan karipap berinti padu kepada kami di belakang bas. Sesuatu yang mengharukan saya tentang bagaimana semuanya menuju ke detik ini merenggut pemikiran saya ketika itu.

Melihat Aqeel dan Naja yang bersebelahan sambil masing-masing menggenggam buku, Keon yang duduk dua kerusi berselang di hadapan, dan di sebelah kanan saya Pie dan Bintang sedang melayan perasaan, dan di kiri saya Zaidi sedang termenung ke luar. Kecuali kami sahabat bertujuh dan beberapa orang yang lainnya, kumpulan aktiviti lasak yang kami sertai merupakan sebuah bulatan sepunya kepada kumpulan usrah.

Usrah Dengan Aktiviti Lasak


Kelakar, tentu sekali. Saya yang begitu skeptical kepada segalanya yang bertentangan dengan kehidupan saya ketika ini, cuba seakan lari dari kehidupan sendiri. Menyertai aktiviti lasak, kemudiannya daripada itu cuba pula menyertai kumpulan usrah – kedua-duanya tidak betah saya kerjakan dalam kehidupan sehari-harian sebelum ini.


Saya mula menyertai aktiviti lasak kerana bosan dengan kehidupan yang menjadi semakin static. Kehidupan kini bermaksud apa-apa yang berlaku di luar lingkungan jam 8 ke 5.30 setiap hari, dan itu memberi terlalu sedikit ruang untuk mendefinisi kehidupan yang sebagaimana saya ingin wujudkan.


Kali Pertama Mendengar Perkataan Usrah


Perkataan usrah sesuatu yang agak asing buat saya, tetapi mendekati mereka daripada aktiviti lasak, mula saya mendengar perkataan usrah dan bulatan gembira berdering dan bergema dalam perbualan mereka. Ingatan saya dibawa kepada Izham tentang kisahnya menyertai usrah ketika tahun akhir pengajian ijazah.

Kata Izham, seringkali dalam doanya sewaktu itu disebut-sebut ingin dipertemukan dengan sahabat yang mampu membawanya ke syurga. Ini tentu sekali rentetan daripada kehidupan sosialnya (atau kami) ketika itu, yang secara halusnya boleh dikatakan sebagai sedikit berbeza. Kami berdua ulat buku, bibliomania. Penggila aliran alternatif – memblog, membaca, membuat kajian, manakala rakan kami di kolej yang sama majoritinya ahli sukan. Saya sungguhpun pernah mewakili kolej dalam sukan sofbol dan memanah, bukanlah seorang atlet yang tegar. Izham kepingin bukan setakat sahabat duniawi yang boleh berbincang perihal-perihal duniawi, tetapi juga sahabat yang boleh membawanya di akhirat nanti ke syurga.

Mendengar luahan Izham, saya tersentak. Pernahkah saya berdoa demikian? Tentu sekali tanpa perlu disoal, saya tahu jawapannya. Tidak, tidak pernah terlintas untuk saya berdoa dipertemukan dengan sahabat yang boleh membawa saya ke syurga. Perasaan saya disentuh sesuatu yang baru.

Izham diperkenalkan dengan sebuah kumpulan usrah di universiti secara tidak langsung tahun terakhirnya di universiti, yang membuatkan dia berasa doanya telah dimakbulkan Tuhan. Kata Izham, yang paling membuatkan dia selesa dengan rakan-rakan usrahnya yang baru adalah kerana mereka bukan daripada latar belakang keluarga yang Islamik – sesuatu yang beresonansi dengan kisahnya sendiri.

Mendengar kisah Izham yang teruja tentang sahabat-sahabat barunya, saya senyum tawar. Sedikit cemburu, walau tumpang gembira.

Izham menjadi berubah, kepada seseorang yang lebih baik, tapi tidak pernah dalam perubahannya dia meninggalkan saya yang masih di takuk lama. Dia sahabat yang baik. Dia masih juga seperti dulu, gelak tawa yang sama, kemesraan yang serupa, hanya kini dia lebih kerap mengingatkan saya tentang agama.

Banyak perkara sia-sia yang kami bualkan dahulu, kini digantikan dengan kisah-kisah yang baru, tentang idea, agama, adab, kehidupan dan akhirat. Izham sering mengingatkan hadis Nabi ‘Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.’ Dan apabila kami bertemu, Izham telah menyampaikan lebih dari satu ayat Nabi kepada saya.

Kadang dia berapi, tentang perjuangan Islam. Katanya, matlamat akhir bukan menjadi ukuran, yang lebih penting adalah usaha untuk kita menegakkan agama. Dan menjadi lebih baik dari segi keperibadian juga salah satu kaedah kita menegakkan agama. Maruah agama terletak juga pada maruah kita sebagai mereka yang memeluk agama. Walaupun begitu, tidak pernah dia mencemuh atau memandang rendah kepada mereka yang masih belum berhijrah, termasuklah saya. Tidak pernah dia menggunakan sesiapa sebagai contoh kepada hujah-hujah yang disampaikannya, kecuali yang baik-baik sahaja.


Mencari Hidayah


Saya tahu saya nakal. Dalam kehidupan berkali-kali tergelincir, dalam cuba terus berjalan di lorong yang lurus. Saya manusia yang lemah, walau selalu cuba menunjukkan wajah yang teguh, kuat. Dan hanya dengan mempunyai sahabat-sahabat yang mengelilingi kita menuju ke jalan yang sama, yang boleh memapah bila kita lemah, yang boleh mengangkat kita kembali setelah kita terjatuh terjelepuk, yang membuat kita menjadi kuat; kita akan terus mampu terus berjalan ke penghujung.

Mungkin juga pada malam-malam yang sunyi, ketika tiada berteman sesiapa dibalut kehangatan udara di rongga konkrit, saya ketagih teman. Teman menangis bersama, ketawa bersama satu-satu sudah membawa haluan masing-masing, kini hanya tinggal sendiri - dan memori. Mungkin persaudaraan usrah boleh membasmi kesepian dari menempel di dinding sanubari.


Ajakan Usrah


Beberapa hari setelah pulang dari mencandat sotong, saya menerima mesej pertama dari nombor yang saya tidak kenali, bertanya jika benar saya gerangannya yang ingin menyertai kumpulan usrah kendaliannya. Saya menjawab ya, sambil saya menerangkan kepadanya betapa saya tidak pernah menyertai mana-mana usrah, kecuali zaman sekolah dahulu, kurang lebih 10 tahun yang lampau.

Saya tidak pasti jika jawapan ‘tidak mengapa’ itu adalah jawapan standard, atau jawapan yang ikhlas memujuk, tetapi itulah yang dibalas kepada saya.

Beberapa hari kemudian juga Yunuss bertanya kepada saya jika ada orang yang menghubungi saya perihal usrah. Setelah menjawab pertanyaan Yunuss, saya berlaku jujur dengan Yunuss tentang kerisauan saya.


“Takpe, Bad jenis mudah masuk dengan orang.” Pujuk Yunuss.

Saya senyum sendiri. Mungkin juga begitu, mungkin juga itu hanya apa yang orang lain lihat.


Rupanya Mereka Juga Pernah Berusrah


Keon pernah mengikuti usrah juga sewaktu belajar di India. Keon seekor sumpah-sumpah, selalu mengubah dan beradaptasi warna kulit dalam kumpulan yang berbeza. Dalam kumpulan usrah, dia mengikut perwatakan usrah. Dalam kumpulan pemuisi, dia mengikut perwatakan pemuisi.

Begitupun, katanya, usrah banyak membantunya sewaktu di India. Ketika saya meneliti arkib di blognya, penulisannya beberapa tahun lampau jelas terpercik kata-kata yang berlingkar kepada aktiviti dan mentaliti usrah. Tetapi semakin lama, semakin menyusut sehingga hampir juga hilang.

Dalam berbicara dengan Keon tentang faedah menyertai usrah, Naja pula membuat kejutan, mengakui dia pernah menyertai usrah sewaktu di Universiti. Terkejut pula kami, Naja tidak pernah bercerita tentang penglibatannya berusrah. Tetapi setelah beberapa pertemuan, Naja merasakan dirinya tidak pantas berada dalam kumpulan usrah tersebut dan akhirnya dia meninggalkan kumpulan usrah tersebut (kerana dia disuruh menyampaikan sebuah tazkirah). Ya, usrah juga perlu rasa sebulu – sekufu.


Apakah Patut Diri Ini Sempurna Untuk Sertai Usrah?


Setelah dihubungi orang tersebut yang lupa memperkenalkan dirinya kepada saya, tiada paksaan untuk saya mengikut aktiviti usrah mereka. Saya berasa sedikit lega. “Takpe, Bad jenis mudah masuk.” Kata-kata Yunuss saya fikirkan dengan mendalam, kemudian fikiran saya menjadi caca marba dan tertekan, dalam merasa ingin membuktikan kata-kata Yunuss tentang saya sebenarnya benar, saya berkonflik dengan kerisauan untuk menyertai usrah sebagai seorang baru yang terlalu muda dan mentah dalam perihal persaudaraan slash brotherhood Islamik.

Tentulah lidah saya kelu untuk menyebut ana-anta, apatah lagi meluncurkan hadis-hadis Nabi dan ayat-ayat al-Quran tanpa melihat teks. Tapi kemudiannya saya memarahi diri sendiri, masuk usrah bukan maksudnya kau dah perfect. Maksud usrah sebab kau nak memperbaiki diri, menuju perfection.

Orang tersebut menghubungi saya ketika bulan Ramadan, kali keduanya. Ketika itu saya sedang memandu. Setelah membaca mesejnya, saya berniat untuk membalasnya setelah tiba di destinasi. Tetapi kerana saya juga manusia yang lupa, saya langsung lupa membalasnya, setelah perbualan kami ditimpa ke bawah oleh perbualan-perbualan lain. Saya hanya menjawab mesejnya dua hari kemudian, dengan sebuah permohonan maaf.

Katanya tidak mengapa, kerana saya terlambat dan saya telahpun terlepas sebuah upacara. Saya berasa sedikit bersalah, dan rasa bersalah itu tambah mendalam kerana pada masa yang sama, saya merasa lega pula terlepas daripada upacara tersebut.

Sehingga kini, belum lagi saya terima pelawaannya untuk bersua. Tapi sekiranya ada, mungkin saya perlu jadikan kata-kata Yunuss kepada saya sebagai mantra.



“Takpe, Bad mudah masuk.” Mungkin.


2 comments:
Write curses
  1. Alhamdulillah. Lega aku membacanya Syed! Hati kita ini sentiasa berbolak balik. Bersyukurlah ketika Allah datangkan kebaikan kepada kita dan kita genggam!

    Cuba je dulu. Aku yakin mereka baik baik sahaja.

    Izham,
    Tambunan, Sabah.

    ReplyDelete
  2. Aku lampirkan hadis yang sentiasa membuatkan hati aku hiba apabila aku membacanya.

    Lihatlah di mana perkataan usrah itu tersembunyi di dalam hadis ini. Aku yakin kau pasti akan menjumpainya.

    Dari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya: Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’. Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya. Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

    ReplyDelete

Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter